Sunday 10 March 2013

Festival Layang-Layang Sedunia 2011


Festival Layang-Layang Sedunia 2011
Pasir Gudang, Johor
“Mewarnai Langit”

Festival ini yang dahulunya dikenali sebagai Festival Layang-Layang Pasir Gudang merupakan edisi yang ke 16 telah dianjurkan di negeri Johor. Ia merupakan festival utama yang diiktiraf oleh kerajaan negeri Johor dan juga tersenarai di dalam kalendar pelancongan Malaysia. Festival ini telah berlangsung selama 5 hari bermula dari 16 hingga 20 Februari 2011 bertempat di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang. Acara ini telah mendapat penyertaan yang memberangsangkan dari dalam dan luar negara. Penyertaan peserta luar negara tahun ini telah melibatkan 190 peserta dari 30 buah negara dari benua Asia, Afrika, Eropah, Amerika dan di antaranya Austria, Afrika Selatan dan Lebanon. Festival ini juga telah melibatkan lebih 700 peserta tempatan terdiri daripada peringkat negeri, sekolah dan badan-badan korporat. Pelbagai kategori dipertandingkan dan rata-rata ianya melibatkan kreativiti pembuatan dan permainan bagi sesebuah layang-layang tradisional mahupun moden. Penganjuran tahun ini berbeza kerana ianya julung kali melibatkan beberapa agensi utama dari Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Tourism Johor dan Persatuan Pelayang Johor.  Hasil dari gabungan agensi-agensi tersebut telah menjadikan festival ini diiktiraf sebagai acara layang-layang tahunan terbesar di dunia.

Selaras dengan pengiktirafannya sebagai acara tahunan peringkat dunia, pihak kami telah dijemput khas oleh Tourism Malaysia mengikuti rombongan seramai lebih 15 wakil media tempatan selama 2 hari (19 & 20 Februari) untuk meliputi acara bagi hari pembukaan dan penutup serta majlis penyampaian hadiah. Hujan rintik dan lebat bersilih ganti mengiringi di sepanjang upacara perasmian majlis yang telah disempurnakan oleh DYMM Baginda Sultan Johor diiringi oleh Y.A.B Dato Haji Abdul Ghani Othman sebagai Menteri Besar Johor. Namun begitu, upacara terus dijalankan dengan tarian kebudayaan dipersembahkan kepada para jemputan khas dan ribuan pengunjung yang masih lagi tidak berganjak. Majlis perasmian ini juga telah dimeriahkan lagi dengan percubaan daripada 3000 pelajar-pelajar sekolah untuk mencipta Malaysia Book of Records dengan menerbangkan 3000 layang-layang dalam satu masa. Walaubagaimanapun, percubaan kali ini tidak berjaya disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan. Namun yang pasti reaksi dan telatah ratusan pelajar sekolah yang bertaburan berlari menerbangkan layang-layang masing-masing telah mencuit hati para pengunjung serta peserta antarabangsa. Walaupun percubaan itu tidak berjaya, namun semangat dan kesungguhan pelajar sekolah serta bantuan guru-guru jelas kelihatan dan usaha mereka ini seharusnya diberikan pujian.

Antara tarikan utama dalam festival ini adalah aksi dan gaya dari peserta dalam dan luar negara. Pelbagai jenis layang-layang yang berwarna-warni dan rupabentuk yang kreatif telah diterbangkan oleh para peserta. Dari sekecil-kecil layang-layang sehingga sebesar-besar belon udara memenuhi ruang udara Bukit Layang-Layang, selaras dengan tema festival kali ini- “Mewarnai Langit”. Setiap peserta mempersembahkan layang-layang mengikut kreativiti dan adat serta budaya negara masing-masing. Pelbagai rupa bentuk dan warna telah dijadikan ilham buat para peserta di antaranya yang mencuit hati adalah sotong, ikan jerung, naga, burung helang dan lain-lain lagi. Gaya persembahan dari para peserta juga mencuit hati pengunjung. Tidak kira yang tua dan yang muda kebanyakkannya memakai pakaian tradisi negara masing-masing menyerlahkan lagi identiti kebudayaan sesebuah negara itu. Peserta kebangsaan juga tidak terlepas untuk mempersembahkan pelbagai jenis permainan wau dan pakaian tradisi yang merupakan permainan  masyarakat melayu terutamanya di pantai timur.

Selain daripada itu, pihak penganjur juga telah mengadakan aktiviti-aktiviti bengkel pembuatan dan permainan layang-layang dan wau di sepanjang berlangsungnya festival ini. Aktiviti bengkel ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi pendedahan dan minat kepada generasi baru serta memberi ruang kepada pengunjung untuk mengenali aktiviti ini lebih dekat lagi sebagai suatu aktiviti riadah yang sihat bersama ahli keluarga. Bagi menarik lebih ramai pengunjung, pihak penganjur juga telah menyediakan lebih 100 buah gerai pameran dan jualan di sekeliling Bukit Layang-Layang ini. Pelbagai barang cenderamata, pakaian, hiasan dan gerai makanan ditawarkan kepada pengunjung. Dianggarkan lebih daripada 100,000 orang mengunjungi festival ini sepanjang ianya berlangsung. Yang pasti, ianya banyak membantu peniaga-peniaga tempatan menambah pendapatan serta memberi ruang kepada mereka untuk mempromosikan produk masing-masing.

Upacara penutupan dan majlis penyampaian hadiah telah diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang seawal jam 7 malam. Majlis penutupan yang gilang gemilang ini telah disempurnakan oleh YB En.Ho Seong Chang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Layang-Layang Sedunia 2011. Majlis ini diserikan dengan acara makan malam, nyanyian dan juga persembahan kebudayaan daripada penari-penari tempatan dan juga persembahan daripada wakil-wakil peserta dari luar negara. Majlis ini diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang kelihatan berpuas hati dengan hasil keputusan dari setiap kategori yang dipertandingkan. Austria, New Zealand, China, India dan Malaysia adalah negara-negara yang mengunguli kategori masing-masing di peringkat antarabangsa pada tahun ini. Suasana gembira bercampur sedih menyelubungi majlis sejurus kelihatan sekumpulan pelajar sekolah dan peserta luar negara bersalaman dan berpelukan sesama sendiri sambil mengambil gambar untuk simpanan peribadi. Yang pasti, festival ini telah memberi kenangan yang istimewa buat semua peserta yang terlibat.

Secara keseluruhan, Festival Layang-Layang Sedunia kali ini telah memberi impak yang positif kepada pelbagai pihak. Ianya telah membuka ruang dan minat kepada generasi muda khususnya para pelajar sekolah rendah mahupun menengah untuk meneruskan aktiviti layang-layang moden dan tradisional seterusnya menjadi pelapis negara untuk pertandingan di peringkat antarabangsa pada masa hadapan. Selain itu, ianya juga telah memberi manfaat kepada peniaga-peniaga tempatan dalam mempromosikan produk mereka serta memperbaiki taraf ekonomi masing-masing. Kerjasama dan sokongan yang berterusan dari pihak kerajaan dan negeri serta badan-badan korporat amatlah dihargai. Ini adalah perlu bagi memastikan festival ini dapat terus diadakan dan diperhebatkan lagi pada masa akan datang dan secara tidak langsung ianya membantu memperkenalkan lagi negeri Johor sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di peringkat antarabangsa.


Saturday 9 March 2013

Pulau Sipadan, Sabah


Pulau Sipadan, Sabah
“Destinasi Wajib Buat Penyelam Setiap Tahun”



Tidak dapat dinafikan lagi Pulau Sipadan, mempunyai banyak keistimewaanya. Kedudukannya di laut Celebes dan faktor muka buminya yang terhasil daripada aktiviti gunung berapi yang pupus ribuan tahun dahulu telah membentuk sebuah pulau yang serba indah lebih kurang 600 meter dari dasar laut. Ia juga telah menarik ratusan spesies karang dan lebih 3000 spesies ikan untuk bermastautin di sini. Peningkatan jumlah penyu di sini juga semakin baik setiap tahun menunjukkan ekologinya yang seimbang di perairan ini. Atas kesedaran ini saya dan rakan saya Azrin, seorang dive guide di Berjaya Redang Resort mengambil ruang 4 hari untuk menikmati keindahan Pulau Sipadan yang pernah dicatatkan sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia yang hanya terletak di tanahair sendiri;Sabah,Malaysia.

Untuk menyelam di Pulau Sipadan, para penyelam perlu memilih dahulu penginapan yang diinginkan kerana di Pulau Sipadan tidak menawarkan sebarang tempat penginapan.  Ada pengusaha menawarkan cara yang lebih unik seperti “Live-onboard” bersama Celebes Explorer yang menawarkan penginapan, makan minum serta menyelam menaiki kapal laut yang belum berkesempatan untuk saya mencubanya. Ia satu pakej yang berbeza dan semestinya dicuba oleh para penyelam. Jika tahun sebelumnya saya menginap di pekan Sempurna di tanah besar yang mempunyai hotel dan restoran yang berpadanan serta ‘dive operator’ yang juga menguruskan trip ke Pulau Sipadan setiap hari, trip kali ini saya dan rakan memilih untuk menginap di Pulau Mabul. Sesuai bagi mereka yang sukakan suasana semulajadi pulau, dan suasana kehidupan kampung bersama orang tempatan yang mendiami pulau itu. Di sini terdapat beberapa jenis resort bertaraf 4-5 bintang, lodge mahupun homestay yang menawarkan trip menyelam ke Pulau Sipadan setiap hari. Saya memilih penginapan di Borneo Divers Mabul Resort yang dikatakan antara pelopor industri selaman di Pulau Sipadan. Sebagai antara pelopor industri, resort ini menjanjikan fasiliti dan layanan yang terbaik serta dapat memberikan kemudahan dan peralatan menyelam yang setaraf dengan pencapaiannya di dalam industri. Sebagai seorang penyelam dan penulis seharusnya saya mencuba setiap pakej yang ditawarkan di sini yang pastinya mempunyai perbezaan dalam penceritaannya yang tersendiri.

Setelah mengharungi 2jam 45minit menuju ke Tawau melalui jalan udara, 1jam 30 minit ke Sempurna melalui jalan darat dan hampir 1 jam ke Pulau Mabul melalui jalan laut menaiki bot laju, saya dan rakan menghabiskan hari pertama untuk bersiar-siar di sekitar kampung dan resort-resort berdekatan sementara menunggu matahari terbenam. Menurut sejarahnya penduduk asal di Pulau Mabul telah menerima pendatang dari Filiphina sejak tahun 70-an lagi. Kebanyakannya menjadi penduduk tetap dan menjadi nelayan sepenuh masa. Malah ramai penduduk menjadi pekerja tetap di resort-resort yang terdapat di sini. Kelihatan ada juga yang menawarkan perkhidmatan jualan cenderamata secara kecil-kecilan berhampiran rumah masing-masing bagi menampung keperluan hidup. Keserasian penduduk tempatan untuk menerima pelancong seperti kami membuatkan saya senang untuk bertanya khabar dan mengambil beberapa gambar buat kenangan peribadi.


Aktiviti menyelam kami merangkumi 3 selaman setiap hari bermula pada hari kedua dan ketiga. Perjalanan pagi kami menuju ke Pulau Sipadan mengambil masa 30 minit dari Pulau Mabul juga disertai 8 lagi penyelam yang datang dari pelbagai negara eropah yang rata-ratanya datang atas rujukan rakan-rakan. Terjunan pertama dimulakan sejurus mendapatkan permit dari pusat kawalan. Seperti yang kami harapkan, trip kali ini kami berpeluang menikmati hidupan laut dengan jarak penglihatan yang baik mencecah 25 meter di kebanyakkan dive site yang kami kunjungi. Saya mengambil peluang ini untuk melihat lebih dekat lambakan karang-karang di permukaan dinding yang berwarna-warni serta keadaan lanskapnya yang sedemikian rupa. Antara yang menarik perhatian saya adalah Nudibranch. Keunikkannya yang mempesonakan membuatkan saya tidak sedar masa yang  dihabiskan sehinggalah ternampak kelibat penyu Agar yang lalu di situ. Di sini kami tidak perlu susah mencari penyu dan seingat saya hampir semua tempat yang dikunjungi pasti akan bertemu. Kali ini juga kami berpeluang untuk menyelam di kawasan pintu masuk yang dinamakan sebagai Turtle Cavern. Di sini terdapatnya sebuah gua yang menjadi pintu masuk ke Turtle Tomb, satu kawasan yang dikatakan dipenuhi dengan rangka-rangka penyu yang telah mati akibat tidak dapat mencari jalan untuk keluar. Disebabkan kaedah selamannya yang agak teknikal, hanya penyelam yang berpengalaman dibenarkan melalui gua ini dan ianya memerlukan persiapan yang lebih rapi. Mungkin satu hari nanti kami juga berpeluang untuk merasakan pengalamannya. Seperti yang dijangkakan, ketika menyelam di Barracuda Point saya berpeluang melihat ratusan ikan Barracuda dan Trevally melakukan aksi formasi tornadonya. Di sini sememangya terkenal dengan aksi ratusan ikan yang menggulung menjadikannya dive site yang paling popular di Pulau Sipadan. Di sepanjang selaman ini, kami di hanyutkan oleh arus menjadikan selaman ini lebih menarik. Sedang kami dibawa arus, sekumpulan Humhead Parrotfish yang sedang berenang melawan arus menarik perhatian saya. Ikan yang mempunyai kepala yang agak besar dan unik ini juga mempunyai sepasang gigi hadapan yang besar dan ianya masih lagi kelihatan walaupun kita berada di kedudukan yang jauh. Walaupun ia agak besar dan menggerunkan, yang pasti senyumannya mengusik hati sendiri.Sepanjang 2 hari menyelam di sini, ianya dipenuhi dengan pelbagai pengalaman manis yang dapat saya rasai. Kelibat white tip shark, sekumpulan big eye trevally dan batfish, anemone, garden eel dan banyak lagi hidupan makro telah disematkan di fikiran. Yang pasti ianya berbeza dari pengalaman yang dahulu. Ketika bot kami meninggalkan Pulau Sipadan saya sangat bersyukur dan berasa puas hati sepanjang trip selaman ini. Kami menuju kembali ke Pulau Mabul untuk menikmati malam terakhir kami berada di sini.

Malam terakhir kami tetap meriah seperti malam-malam sebelumnya. Hidangan bbq disediakan dengan pelbagai jenis termasuklah ikan, sotong, udang dan kambing. Malam ini agak istimewa kerana ianya disertakan dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan dari staff resort sendiri dan dipersembahkan di kawasan terbuka berhampiran pantai sambil menikmati hidangan malam kami. Ketika ramai yang lain sedang menyanyi lagu hit “The Sipadan Song” dan menari beramai-ramai, saya mengambil peluang ini untuk bersembang dan berkongsi pendapat serta pengalaman bersama divemaster yang telah mengiringi sepanjang aktiviti selaman kami. Saya juga sempat berterima kasih atas layanan mesra dan servis yang diberikan sepanjang berada di sini.

Trip menyelam kali ini rata-ratanya menepati apa yang disasarkan. Menjalani kehidupan di Pulau Mabul, trip menyelam ke Pulau Sipadan bersama Borneo Divers dan pengalaman bertemu ribuan spesies ikan dan karang di dasar laut, suatu adunan pengalaman yang berbeza berbanding dahulu. Biar seribu kali bertandang yang pastinya perasaannya bagaikan pertama kali menyelam di sini. Dengan pelbagai pilihan yang ditawarkan di sini, menjadikan Pulau Sipadan sebagai destinasi wajib setiap tahun buat para penyelam dalam dan luar negara. Jika kali ini saya memilih pakej 4hari 3malam, bagaimana pula dengan akan datang? Ketika penerbangan kami meninggalkan Bandar Tawau, saya dan rakan sudah merancang untuk kembali. Kali ini pasti dengan gaya yang berbeza. Yang pasti pakej 6hari 5malam “Live-onboard” menjadi sasaran kami.










Pulau Redang, Terengganu


Pulau Redang, Terengganu
‘Keseronokan Semulajadi’(Kenali-Alami-Fahami)

Pulau Lima, Redang                                                                                                                                                Foto: Omar Ariff






“Keseronokan Semulajadi” merupakan satu fenomena baru bagi para pelancong ketika berkunjung ke sebuah pulau yang merupakan pulau yang terbesar di perairan negeri Terengganu Darul Iman; Pulau Redang. Umumnya, Pulau Redang telah menjadi satu destinasi percutian yang utama bagi pelancong dalam dan luar negara. Pulau yang telah melalui evolusi pelancongan sejak lebih 10 tahun yang lalu, kini kian berkembang dengan pembangunan dan perancangan untuk melengkapkan Pulau Redang sebagai pulau yang bercirikan ekslusif dalam masa 10 tahun akan datang. Pada waktu ini, terdapat 15 pengusaha resort beroperasi sepanjang musim yang bermula dari bulan Mac sehingga Oktober setiap tahun. Dari bulan November sehingga Februari merupakan bermula dan berakhirnya musim angin timur laut atau musim tengkujuh. Kedudukan resort terbahagi kepada beberapa teluk atau pantai.9 daripada resort tersebut terletak di Pasir Panjang, 2 resort di Teluk Bakau, 2 resort di Teluk Kalong, 1 resort di Teluk Dalam dan 1 hostel di Kampung Baru, Pulau Redang. Berbeza dengan pulau-pulau lain, kebanyakkan resort di sini menawarkan pakej percutian untuk 3hari 2malam dan 4hari 3malam berbanding dengan harga bilik untuk semalaman. Harga pakej bermula dari sekitar RM270/orang sehingga RM900/orang bergantung kepada jenis bilik, aktiviti dan sebagainya. Kebiasaannya pakej yang ditawarkan adalah termasuk bilik penginapan, tambang bot/feri untuk 2 hala, makanan dan minuman serta aktiviti snorkeling atau menyelam. Malah ada juga yang menawarkan tambahan pakej termasuk kos perjalanan dari stesen bas ataupun lapangan terbang ke jeti yang berkenaan. Dari sudut logistik, ada sebahagian resort beroperasi menggunakan perkhidmatan feri dari Jeti Syahbandar, K.Terengganu dan ada juga beroperasi di Jeti Merang yang terletak lebih kurang 40km dari bandar K.Terengganu. Bagi pelancong yang inginkan keselesaan perjalanan, terdapat pilihan pakej termasuk tambang penerbangan terus ke Pulau Redang melalui Berjaya Air. Semua ini adalah antara ciri-ciri umum yang terdapat di Pulau Redang yang juga pernah diklasifikasikan sebagai antara pulau tercantik di dunia. Walau apa jua jenis pakej dan tarafnya, yang pasti semua mempunyai tujuan yang sama - ‘Mengenali’, ‘Mengalami’ dan ‘Memahami’ alam semulajadi dengan cara yang tersendiri.
Perjalanan laut bermula dari jeti seawal pukul 9 pagi. Dari jeti Merang, perjalanan menaiki bot laju mengambil masa 40 – 60 minit untuk sampai ke pulau. Manakala perjalanan melalui jeti Syahbandar menaiki feri mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Walaupun ia mengambil masa yang agak lama, namun dengan kemudahan dan ruang yang ada ia mampu memberi keselesaan kepada pelancong untuk menikmati permandangan dan keindahan di sepanjang perjalanan. Keasyikkan semakin mendekati hati pelancong sejurus melihat keindahan Pulau Redang yang di kelilingi oleh 8 jenis pulau-pulau yang berhampirannya. Ada yang besar dan ada yang lebih kecil. Adunan halus permandangan dan kedudukan lanskap pulau-pulau yang berhampiran inilah yang bakal mengusik dan mengikat hati para pelancong sepanjang berada di pulau ini. Malahan, mungkin sudah ada yang tersentuh sebaik kedengarannya loghat Terengganu diucapkan oleh orang tempatan di bandar Kuala Terengganu.

Keghairahan ini berterusan sebaik sahaja menikmati hidangan tengahari sambil menikmati permandangan yang memukau dan mempersonakan. Pasir putih, laut membiru luas dan bunyian ombak memecah ke pantai serta permandangan lanskap pulau-pulau kecil yang menghijau, sudah cukup untuk membuat hati tidak sabar untuk mengenali kehidupan di sini dengan lebih dekat lagi. Dari satu sudut, kelihatan ada yang sudah berlari dan berguling di atas pasirnya yang halus dan gebu sambil ada yang berlari menuju ke air lautnya yang membiru. Dari sudut yang lain, kelihatan ada yang sudah bersiap-siap mengikat kemas baju keselamatan dan menuju ke arah bot yang sedang menunggu untuk aktiviti snorkeling trip. Kebiasaannya, destinasi trip yang pertama adalah ke salah satu pulau yang berdekatan seperti Pulau Kerengga Besar dan KecilPulau Paku Besar dan Kecil atau Pulau Lima. Di sekitar kawasan ini, para pengunjung akan mula mengenali dan mendekati sendiri pengalaman tentang suatu kehidupan di dasar laut. Terdapat pelbagai jenis ikan yang berwarna-warni serta batu karang yang mempunyai landskapnya tersendiri yang pastinya menawan hati nurani. Hati pasti tertarik ketika menyedari betapa hebatnya penyu berenang laju meninggalkan kita yang masih terkial-kial mengayuh kaki. Jika kena pada waktunya, kelibat jerung berkejaran mungkin menambah debaran hati sendiri. Pada waktu inilah ‘snorkeling guide’ yang kebanyakkannya adalah penduduk tempatan, akan berkongsi pengalaman mereka tentang kehidupan dasar laut kepada pelancong dengan latah dan gaya mereka sendiri.

Salah satu kawasan snorkeling dan menyelam yang istimewa di Pulau Redang adalah di Pulau Pinang. Di sini terletaknya Taman Laut yang mempunyai insfrastruktur yang serba lengkap seperti jeti, tandas awam, ruang pameran dan kawasan perkelahan untuk para pelancong. Antara yang menjadi tarikan di sini adalah kehidupan yang berada di bawahnya seperti Moray Eel, Giant Groupa dan juga sebuah kapal lama yang tenggelam berhampiran dengannya. Ini tidak termasuk ribuan ikan-ikan kecil berwarna-warni yang lain berlumba-lumba menikmati roti yang diberikan oleh pelancong. Ciri-ciri inilah mendorong Taman Laut menjadi destinati utama ditawarkan oleh pihak resort. Tidak hairanlah ia menjadi tumpuan ribuan pelancong dalam satu-satu masa, terutama pada waktu cuti am. Oleh yang demikian, bagi membantu mengekalkan khazanah alam ini, Jabatan Taman Laut Terengganu adalah badan kerajaan yang menguruskan hal ehwal pemuliharaan kawasan taman ini dan sekitarnya iaitu dalam lingkungan 3.2km dari Pulau Redang. Untuk tujuan ini, Jabatan Taman Laut mengenakan bayaran caj sebanyak RM5.00/dewasa dan RM2.50/kanak-kanak bagi mengumpul dana bagi kerja dan projek-projek pemuliharaan. Usaha ini adalah amat penting bagi mengekalkan keseimbangan pulau ini sebagai tempat tumpuan pelancongan selari dengan keseimbangan pembangunan ekonomi penduduk tempatan.
Sebaik sahaja matahari terbenam, perasaan mula membara bagi sebahagian pelancong. Pengalaman waktu malam di Pulau Redang adalah berbeza bagi setiap tempat yang lain. Bagi pelancong yang sukakan hiburan muzik malam hari, Pasir Panjang adalah merupakan tempat yang sesuai untuk tujuan itu. Kebanyakkan resort-resort di sepanjang teluk ini akan menawarkan aktiviti-aktiviti sedemikian dengan adunan bunyi muzik yang rancak dan silauan serta kelipan lampu yang menghangatkan malam. Berbeza pula bagi kawasan-kawasan yang lain seperti di Teluk Kalong yang mempunyai aktiviti malam yang minima dengan cara yang berbeza. Cukup sesuai bagi yang inginkan malam yang lebih tenang dan damai sambil berbaring di pantai membilang bintang dan mendengar sayup bunyian keroncong alam semulajadi. Ada juga mereka yang berkesempatan berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan penduduk tempatan sepanjang malam. Pertemuan sebegini sedikit sebanyak memberi pengetahuan baru kepada pelancong tentang erti kehidupan di Pulau Redang sebaliknya.
Pengalaman manis berada Pulau Redang tidak berakhir dengan keindahan kehidupan dasar lautnya sahaja. Malah seribu lagi rahsia mungkin berada di puncak bukit dan khazanah hutannya. Semua ini boleh dialami dengan mengikuti aktiviti merentas hutan atau jungle trekking yang disediakan oleh pihak resort. Antara trek yang biasa adalah laluan dari Pasir Panjang ke Kampung Baru, dan Teluk Dalam yang mengambil masa lebih kurang 2 jam perjalanan. Manakala, di Teluk Kalong laluan yang biasa untuk aktiviti ini adalah mendaki dan merentas hutan yang mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke tapak permandangan bagi melihat sebahagian Pulau Redang dari pandangan atas yang mampu mempesonakan hati. Sepanjang pendakian ini kelihatan hidupan lain seperti kumpulan semut dan serangga kecil, kicauan burung serta kepelbagaian spesies pokok-pokok yang ada di sekitar termasuklah pokok herba Tongkat Ali. Yang pasti suasana kehidupan di sini menambahkan lagi ciri keistimewaan Pulau Redang yang sewajarnya dihargai oleh pelancong mahupun penduduk tempatan.

Secara keseluruhan, Pulau Redang merangkumi perkara-perkara asasnya seperti sistem jaringan perjalanan yang bertaraf antarabangsa, kemudahan infrastruktur yang serba lengkap serta layanan mesra dari penduduknya. Dalam kerancakkan perancangan dan pembangunan industri pelancongan di sini, faktor alam persekitaran dan pembangunan modal insan perlulah diambil kira sewajarnya bagi memastikan ia terus menjadi tumpuan pelancong dan secara tidak langsung memastikan keseimbangan dalam pembangunan ekonomi penduduk tempatan. Bagi setiap pelancong pula, pelbagai pengalaman baru yang telah diperolehi sepanjang berada di sini. Akan tetapi setiap pengalaman yang dialami, hanyalah sebahagian daripada keistimewaan dan keunikan pulau ini. Mungkin lebih banyak lagi keistimewaannya yang masih belum dirungkai. Jadi tidak kiralah kemana sahaja kita pergi, yang pasti tujuannya hanya untuk mengenali, mengalami dan memahami,; suatu budaya pemikiran yang harus ada pada setiap pelancong untuk mencapai apa itu ‘Keseronokan Semulajadi’.

Foto: Azmi Zulkafli