Festival Layang-Layang Sedunia 2011
Pasir Gudang, Johor
“Mewarnai
Langit”
Festival ini yang dahulunya dikenali sebagai Festival
Layang-Layang Pasir Gudang merupakan edisi yang ke 16 telah dianjurkan di negeri
Johor. Ia merupakan festival utama yang diiktiraf oleh kerajaan negeri Johor
dan juga tersenarai di dalam kalendar pelancongan Malaysia. Festival ini telah berlangsung
selama 5 hari bermula dari 16 hingga 20 Februari 2011 bertempat di Bukit
Layang-Layang, Pasir Gudang. Acara ini telah mendapat penyertaan yang
memberangsangkan dari dalam dan luar negara. Penyertaan peserta luar negara
tahun ini telah melibatkan 190 peserta dari 30 buah negara dari benua Asia, Afrika,
Eropah, Amerika dan di antaranya Austria, Afrika Selatan dan Lebanon. Festival
ini juga telah melibatkan lebih 700 peserta tempatan terdiri daripada peringkat
negeri, sekolah dan badan-badan korporat. Pelbagai kategori dipertandingkan dan
rata-rata ianya melibatkan kreativiti pembuatan dan permainan bagi sesebuah
layang-layang tradisional mahupun moden. Penganjuran tahun ini berbeza kerana
ianya julung kali melibatkan beberapa agensi utama dari Kerajaan Negeri, Majlis
Perbandaran Pasir Gudang, Tourism Johor dan Persatuan Pelayang Johor. Hasil dari gabungan agensi-agensi tersebut telah
menjadikan festival ini diiktiraf sebagai acara layang-layang tahunan terbesar
di dunia.
Selaras dengan pengiktirafannya sebagai acara tahunan
peringkat dunia, pihak kami telah dijemput khas oleh Tourism Malaysia mengikuti
rombongan seramai lebih 15 wakil media tempatan selama 2 hari (19 & 20
Februari) untuk meliputi acara bagi hari pembukaan dan penutup serta majlis penyampaian
hadiah. Hujan rintik dan lebat bersilih ganti mengiringi di sepanjang upacara
perasmian majlis yang telah disempurnakan oleh DYMM Baginda Sultan Johor
diiringi oleh Y.A.B Dato Haji Abdul Ghani Othman sebagai Menteri Besar Johor.
Namun begitu, upacara terus dijalankan dengan tarian kebudayaan dipersembahkan
kepada para jemputan khas dan ribuan pengunjung yang masih lagi tidak
berganjak. Majlis perasmian ini juga telah dimeriahkan lagi dengan percubaan
daripada 3000 pelajar-pelajar sekolah untuk mencipta Malaysia Book of Records
dengan menerbangkan 3000 layang-layang dalam satu masa. Walaubagaimanapun,
percubaan kali ini tidak berjaya disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan. Namun
yang pasti reaksi dan telatah ratusan pelajar sekolah yang bertaburan berlari
menerbangkan layang-layang masing-masing telah mencuit hati para pengunjung
serta peserta antarabangsa. Walaupun percubaan itu tidak berjaya, namun
semangat dan kesungguhan pelajar sekolah serta bantuan guru-guru jelas
kelihatan dan usaha mereka ini seharusnya diberikan pujian.
Antara tarikan utama dalam festival ini adalah aksi dan
gaya dari peserta dalam dan luar negara. Pelbagai jenis layang-layang yang
berwarna-warni dan rupabentuk yang kreatif telah diterbangkan oleh para peserta.
Dari sekecil-kecil layang-layang sehingga sebesar-besar belon udara memenuhi
ruang udara Bukit Layang-Layang, selaras dengan tema festival kali ini- “Mewarnai Langit”. Setiap peserta
mempersembahkan layang-layang mengikut kreativiti dan adat serta budaya negara
masing-masing. Pelbagai rupa bentuk dan warna telah dijadikan ilham buat para
peserta di antaranya yang mencuit hati adalah sotong, ikan jerung, naga, burung
helang dan lain-lain lagi. Gaya persembahan dari para peserta juga mencuit hati
pengunjung. Tidak kira yang tua dan yang muda kebanyakkannya memakai pakaian
tradisi negara masing-masing menyerlahkan lagi identiti kebudayaan sesebuah
negara itu. Peserta kebangsaan juga tidak terlepas untuk mempersembahkan pelbagai
jenis permainan wau dan pakaian tradisi yang merupakan permainan masyarakat melayu terutamanya di pantai timur.
Selain daripada itu, pihak penganjur juga telah mengadakan
aktiviti-aktiviti bengkel pembuatan dan permainan layang-layang dan wau di sepanjang
berlangsungnya festival ini. Aktiviti bengkel ini adalah sebahagian daripada
usaha untuk memberi pendedahan dan minat kepada generasi baru serta memberi
ruang kepada pengunjung untuk mengenali aktiviti ini lebih dekat lagi sebagai
suatu aktiviti riadah yang sihat bersama ahli keluarga. Bagi menarik lebih
ramai pengunjung, pihak penganjur juga telah menyediakan lebih 100 buah gerai
pameran dan jualan di sekeliling Bukit Layang-Layang ini. Pelbagai barang
cenderamata, pakaian, hiasan dan gerai makanan ditawarkan kepada pengunjung.
Dianggarkan lebih daripada 100,000 orang mengunjungi festival ini sepanjang
ianya berlangsung. Yang pasti, ianya banyak membantu peniaga-peniaga tempatan
menambah pendapatan serta memberi ruang kepada mereka untuk mempromosikan
produk masing-masing.
Upacara penutupan dan majlis penyampaian hadiah telah
diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang seawal jam 7 malam. Majlis
penutupan yang gilang gemilang ini telah disempurnakan oleh YB En.Ho Seong
Chang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Layang-Layang Sedunia
2011. Majlis ini diserikan dengan acara makan malam, nyanyian dan juga persembahan
kebudayaan daripada penari-penari tempatan dan juga persembahan daripada
wakil-wakil peserta dari luar negara. Majlis ini diakhiri dengan penyampaian
hadiah kepada para pemenang yang kelihatan berpuas hati dengan hasil keputusan
dari setiap kategori yang dipertandingkan. Austria,
New Zealand, China, India dan Malaysia adalah negara-negara yang mengunguli
kategori masing-masing di peringkat antarabangsa pada tahun ini. Suasana
gembira bercampur sedih menyelubungi majlis sejurus kelihatan sekumpulan
pelajar sekolah dan peserta luar negara bersalaman dan berpelukan sesama sendiri
sambil mengambil gambar untuk simpanan peribadi. Yang pasti, festival ini telah
memberi kenangan yang istimewa buat semua peserta yang terlibat.
Secara keseluruhan, Festival Layang-Layang Sedunia kali
ini telah memberi impak yang positif kepada pelbagai pihak. Ianya telah membuka
ruang dan minat kepada generasi muda khususnya para pelajar sekolah rendah
mahupun menengah untuk meneruskan aktiviti layang-layang moden dan tradisional seterusnya
menjadi pelapis negara untuk pertandingan di peringkat antarabangsa pada masa
hadapan. Selain itu, ianya juga telah memberi manfaat kepada peniaga-peniaga
tempatan dalam mempromosikan produk mereka serta memperbaiki taraf ekonomi
masing-masing. Kerjasama dan sokongan yang berterusan dari pihak kerajaan dan
negeri serta badan-badan korporat amatlah dihargai. Ini adalah perlu bagi
memastikan festival ini dapat terus diadakan dan diperhebatkan lagi pada masa
akan datang dan secara tidak langsung ianya membantu memperkenalkan lagi negeri
Johor sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment