Pulau Sipadan, Sabah
“Destinasi Wajib Buat Penyelam
Setiap Tahun”
Tidak dapat dinafikan lagi Pulau Sipadan, mempunyai banyak
keistimewaanya. Kedudukannya di laut Celebes dan faktor muka buminya yang
terhasil daripada aktiviti gunung berapi yang pupus ribuan tahun dahulu telah membentuk
sebuah pulau yang serba indah lebih kurang 600 meter dari dasar laut. Ia juga telah
menarik ratusan spesies karang dan lebih 3000 spesies ikan untuk bermastautin
di sini. Peningkatan jumlah penyu di sini juga semakin baik setiap tahun menunjukkan
ekologinya yang seimbang di perairan ini. Atas kesedaran ini saya dan rakan
saya Azrin, seorang dive guide di Berjaya Redang Resort mengambil ruang 4 hari untuk
menikmati keindahan Pulau Sipadan yang pernah dicatatkan sebagai salah satu
destinasi menyelam terbaik di dunia yang hanya terletak di tanahair sendiri;Sabah,Malaysia.
Untuk menyelam di Pulau Sipadan, para penyelam perlu
memilih dahulu penginapan yang diinginkan kerana di Pulau Sipadan tidak
menawarkan sebarang tempat penginapan. Ada
pengusaha menawarkan cara yang lebih unik seperti “Live-onboard” bersama Celebes Explorer yang menawarkan penginapan,
makan minum serta menyelam menaiki kapal laut yang belum berkesempatan untuk saya
mencubanya. Ia satu pakej yang berbeza dan semestinya dicuba oleh para
penyelam. Jika tahun sebelumnya saya menginap di pekan Sempurna di tanah besar yang
mempunyai hotel dan restoran yang berpadanan serta ‘dive operator’ yang juga menguruskan
trip ke Pulau Sipadan setiap hari, trip kali ini saya dan rakan memilih untuk
menginap di Pulau Mabul. Sesuai bagi mereka yang sukakan suasana semulajadi pulau,
dan suasana kehidupan kampung bersama orang tempatan yang mendiami pulau itu.
Di sini terdapat beberapa jenis resort bertaraf 4-5 bintang, lodge mahupun homestay
yang menawarkan trip menyelam ke Pulau Sipadan setiap hari. Saya memilih
penginapan di Borneo Divers Mabul Resort yang dikatakan antara pelopor industri
selaman di Pulau Sipadan. Sebagai antara pelopor industri, resort ini
menjanjikan fasiliti dan layanan yang terbaik serta dapat memberikan kemudahan dan
peralatan menyelam yang setaraf dengan pencapaiannya di dalam industri. Sebagai
seorang penyelam dan penulis seharusnya saya mencuba setiap pakej yang
ditawarkan di sini yang pastinya mempunyai perbezaan dalam penceritaannya yang
tersendiri.
Setelah mengharungi 2jam 45minit menuju ke Tawau melalui
jalan udara, 1jam 30 minit ke Sempurna melalui jalan darat dan hampir 1 jam ke
Pulau Mabul melalui jalan laut menaiki bot laju, saya dan rakan menghabiskan hari
pertama untuk bersiar-siar di sekitar kampung dan resort-resort berdekatan
sementara menunggu matahari terbenam. Menurut sejarahnya penduduk asal di Pulau
Mabul telah menerima pendatang dari Filiphina sejak tahun 70-an lagi.
Kebanyakannya menjadi penduduk tetap dan menjadi nelayan sepenuh masa. Malah
ramai penduduk menjadi pekerja tetap di resort-resort yang terdapat di sini.
Kelihatan ada juga yang menawarkan perkhidmatan jualan cenderamata secara
kecil-kecilan berhampiran rumah masing-masing bagi menampung keperluan hidup.
Keserasian penduduk tempatan untuk menerima pelancong seperti kami membuatkan
saya senang untuk bertanya khabar dan mengambil beberapa gambar buat kenangan
peribadi.
Aktiviti menyelam kami merangkumi 3 selaman setiap hari bermula
pada hari kedua dan ketiga. Perjalanan pagi kami menuju ke Pulau Sipadan
mengambil masa 30 minit dari Pulau Mabul juga disertai 8 lagi penyelam yang datang
dari pelbagai negara eropah yang rata-ratanya datang atas rujukan rakan-rakan. Terjunan
pertama dimulakan sejurus mendapatkan permit dari pusat kawalan. Seperti yang
kami harapkan, trip kali ini kami berpeluang menikmati hidupan laut dengan
jarak penglihatan yang baik mencecah 25 meter di kebanyakkan dive site yang
kami kunjungi. Saya mengambil peluang ini untuk melihat lebih dekat lambakan
karang-karang di permukaan dinding yang berwarna-warni serta keadaan lanskapnya
yang sedemikian rupa. Antara yang menarik perhatian saya adalah Nudibranch. Keunikkannya yang
mempesonakan membuatkan saya tidak sedar masa yang dihabiskan sehinggalah ternampak kelibat penyu
Agar yang lalu di situ. Di sini kami tidak perlu susah mencari penyu dan
seingat saya hampir semua tempat yang dikunjungi pasti akan bertemu. Kali ini
juga kami berpeluang untuk menyelam di kawasan pintu masuk yang dinamakan
sebagai Turtle Cavern. Di sini
terdapatnya sebuah gua yang menjadi pintu masuk ke Turtle Tomb, satu kawasan yang dikatakan dipenuhi dengan
rangka-rangka penyu yang telah mati akibat tidak dapat mencari jalan untuk
keluar. Disebabkan kaedah selamannya yang agak teknikal, hanya penyelam yang
berpengalaman dibenarkan melalui gua ini dan ianya memerlukan persiapan yang
lebih rapi. Mungkin satu hari nanti kami juga berpeluang untuk merasakan
pengalamannya. Seperti yang dijangkakan, ketika menyelam di Barracuda Point saya berpeluang melihat
ratusan ikan Barracuda dan Trevally melakukan aksi formasi
tornadonya. Di sini sememangya terkenal dengan aksi ratusan ikan yang
menggulung menjadikannya dive site yang paling popular di Pulau Sipadan. Di sepanjang
selaman ini, kami di hanyutkan oleh arus menjadikan selaman ini lebih menarik. Sedang
kami dibawa arus, sekumpulan Humhead
Parrotfish yang sedang berenang melawan arus menarik perhatian saya. Ikan
yang mempunyai kepala yang agak besar dan unik ini juga mempunyai sepasang gigi
hadapan yang besar dan ianya masih lagi kelihatan walaupun kita berada di
kedudukan yang jauh. Walaupun ia agak besar dan menggerunkan, yang pasti
senyumannya mengusik hati sendiri.Sepanjang 2 hari menyelam di sini, ianya
dipenuhi dengan pelbagai pengalaman manis yang dapat saya rasai. Kelibat white
tip shark, sekumpulan big eye trevally dan batfish, anemone, garden eel dan
banyak lagi hidupan makro telah disematkan di fikiran. Yang pasti ianya berbeza
dari pengalaman yang dahulu. Ketika bot kami meninggalkan Pulau Sipadan saya
sangat bersyukur dan berasa puas hati sepanjang trip selaman ini. Kami menuju
kembali ke Pulau Mabul untuk menikmati malam terakhir kami berada di sini.
Malam terakhir kami tetap meriah seperti malam-malam
sebelumnya. Hidangan bbq disediakan dengan pelbagai jenis termasuklah ikan,
sotong, udang dan kambing. Malam ini agak istimewa kerana ianya disertakan
dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan dari staff resort sendiri dan
dipersembahkan di kawasan terbuka berhampiran pantai sambil menikmati hidangan
malam kami. Ketika ramai yang lain sedang menyanyi lagu hit “The Sipadan Song” dan menari
beramai-ramai, saya mengambil peluang ini untuk bersembang dan berkongsi
pendapat serta pengalaman bersama divemaster yang telah mengiringi sepanjang
aktiviti selaman kami. Saya juga sempat berterima kasih atas layanan mesra dan
servis yang diberikan sepanjang berada di sini.
Trip menyelam kali ini rata-ratanya menepati apa yang
disasarkan. Menjalani kehidupan di Pulau Mabul, trip menyelam ke Pulau Sipadan
bersama Borneo Divers dan pengalaman bertemu ribuan spesies ikan dan karang di
dasar laut, suatu adunan pengalaman yang berbeza berbanding dahulu. Biar seribu
kali bertandang yang pastinya perasaannya bagaikan pertama kali menyelam di
sini. Dengan pelbagai pilihan yang ditawarkan di sini, menjadikan Pulau Sipadan
sebagai destinasi wajib setiap tahun buat para penyelam dalam dan luar negara. Jika
kali ini saya memilih pakej 4hari 3malam, bagaimana pula dengan akan datang? Ketika
penerbangan kami meninggalkan Bandar Tawau, saya dan rakan sudah merancang
untuk kembali. Kali ini pasti dengan gaya yang berbeza. Yang pasti pakej 6hari
5malam “Live-onboard” menjadi sasaran
kami.
No comments:
Post a Comment